- NIAZ ASLAM BIN ZAINOL AKMAR [02DKA14F2031]
- KAMARUL HAIZAD BIN ROSLI [02DKA14F2046]
- MOHAMAD FAIRUS BIN RAZALI [02DKA14F2057]
- MOHD SYAFIQ FIRDAOUS BIN RAHMAT [02DKA14F2062]
Hukum dan larangan pengambilan dadah adalah jelas haram berdasarkan kepada dalil yang dikiaskan kepada arak. Dalam Al-Quran banyak menyebut mengenai pengharaman ini bersandarkan kepada keterangan nas-nas (Al-Quran dan Al-Hadis) kerana ia termasuk dalam pengertian umum benda-benda yang memabukkan, menghilangkan akal dan kedua-duanya mempunyai alasan hukum yang sama iaitu memabukkan atau terdapat dan membawa kebinasaan terhadap individu-individu dan masyarakat. Ini dapat dibayangkan melalui Firman Allah S.W.T. dalam surah Al-Baqarah ayat 195 yang bermaksud:
"Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan……" (Surah Al-Baqarah : 195)
Menurut fatwa yang dikeluarkan oleh Mufti Al Diar Al Masriah Al – Sabiq (bekas Mufti Mesir), Al Syeikh Hasanin Mahkluf dalam kitabnya, "Fatwa Al – Syari'iyah (muka surat 184) bahawa dadah adalah haram hukumnya dari segi penggunaan, pemberian dan membuat jualan perniagaan.
Berdasarkan kepada ayat-ayat Al – Quran dan Hadis para ulama menjelaskan bahawa penyalahgunaan dadah hukumnya haram. Pengharaman ke atas dadah meliputi semua kegiatan yang berkaitan dengan seperti yang diriwayatkan oleh Termizi dan Ibnu Majah, bahawa Rasulullah s.w.a. pernah melaknat tentang khamar.
Dadah didefinasikan sebagai
satu bahan kimia pembuatan . Ia juga merupakan satu istilah khas yang merujuk
kepada satu bahan yang mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan seseorang dari
segi fizikal ,mental,emosi , serta tingkahlaku pengguna apabila menggunakan dadah
. Terdapat pelbagai jenis dadah dan ada diantaranya boleh mengakibatkan
ketagihan yang melampau.Penagihan dadah merupakan salah satu masalah sosial
yang terjadi di kalangan masyarakat kita sekarang .Masalah ini kian menular
akibat daripada pelbagai aspek.Tanpa kita sedari,kita juga telah menggunakan
dadah iaitu apabila menggunakan ubatan seperti panadol.Tetapi penggunaan dadah
sebegitu tidak berbahaya jika dibandingkan dengan dadah seperti syabu dan
pil-pil khayal. Golongan yang selalu terjebak dengan aktiviti tidak sihat ini
adalah terdiri daripada golongan remaja . Bukan hanya golongan remaja,malah
golongan artis juga sekarang banyak terjebak dengan aktiviti ini. Mereka ini
selalunya bermula dari peringkat remaja dimana mereka baru berjinak –jinak
dalam kancah dadah ini, dan aktiviti ini akan berterusan jika tiada usaha untuk
berhenti. Maka masalah sosial ini perlulah dikenalpasti akan punca berlaku
masalah ini dan cara untuk menghindarinya .
- Faktor mendorong berlakunya masalah ini adalah kerana masalah keluarga seperti keluarga yang berpecah belah akibat penceraian, kehilangan tempat bergantung dan seringkali berlaku pertengkaran di antara ibu bapa. Remaja yang mempunyai masalah keluarga sering kali mencari tempat bagi melepaskan tekanan yang mereka ada. Pada ketika ini, pengaruh daripada rakan-rakan banyak menjadi punca kepada remaja untuk terlibat dalam masalah penggunaan dadah.
- Dalam diri remaja, pengaruh lingkungan dalam menentukan perilaku diakui cukup kuat. Kelompok rakan sebaya diakui dapat mempengaruhi pertimbangan & keputusan seorang remaja tentang perilakunya. Rakan sebaya mempunyai nilai-nilai tersendiri & mempunyai pengaruh yang ketara. Mereka dapat mempengaruhi disiplin seseorang remaja. Jika rakan sebaya mempunyai sifat-sifat positif seperti berdisiplin & cenderung melakukan perkara yang menbawa kebaikan, begitu juga sifat remaja berkenaan. Tetapi jika rakan sebaya cenderung mempunyai sifat negatif, begitu juga sikap remaja berkenaan. Ini kerana remaja ingin dirinya diterima oleh rakan-rakan. Dengan itu, mereka sanggup melakukan apa sahaja supaya diterima oleh ahli kumpulannya. Remaja yang berasal dari keluarga yang bermasalah lebih mudah dipengaruhi oleh rakan sebaya yang mungkin senasib dengannya & membentuk kumpulan sendiri. Kumpulan ini mudah terpengaruh dengan anasir-anasir jahat. Paling teruk atas sebab pengaruh rakan sebaya ini akan mempengaruhi remaja terlibat dengan penggunaan dadah, sekaligus boleh menyebabkan berlakunya pembunuhan ,merompak, atau merogol.
- Faktor lain yang membawa kepada berlakunya masalah penggunaan dadah dan syabu ini adalah sikap remaja yang ingin mencari sesuatu yang baru atau sikap ingin tahu. Biasanya mereka gemar mencuba sesuatu yang baru. Setiap perkara yang dilarang itulah yang ingin diteroka oleh mereka. Selain itu, remaja sekarang lebih suka kepada cabaran dan mudah terikut-ikut dengan gaya dan gaya hidup lain daripada yang lain. Jika tidak kena pada caranya, remaja akan terjebak dalam ketagihan dadah yang boleh merosakkan akhlak.
- Jika ibu bapa tidak menerapkan ajaran agama dalam diri remaja, sedikit sebanyak remaja tersebut kurang panduan dalam menghadapi cabaran sosial. Pendidikan agama perlu diterap dalam diri remaja sejak kecil. Ajaran yang terkandung di dalam Al-Quran & Hadith sebenarnya sudah cukup menyeluruh untuk dijadikan panduan hidup. Islam sudah menerangkan secara jelas tentang bahana setiap gejala sosial jika dilakukan oleh orang Islam.
- Bagi golongan pelajar mereka menjadikan dadah sebagai alasan untuk lebih fokus di dalam pembelajaran. Mereka mengangap bahawa penggunaan dadah akan dapat memberikan ketenangan kepada mereka.
- Kemunculan media massa turut mendorong gejala ini memuncak dengan drastik. Kelakuan yang tidak senonoh yang mereka saksikan menimbulkan rasa untuk mencuba dalam hati remaja. Kebanyakan gejala ini dikatakan satu cubaan meniru artis pujaan mereka yang berlakon dalam drama atau filem. Jadi,sikap ingin mencuba dalam diri remaja tanpa memikirkan baik buruk akibat tindakan yang diambil menyebabkan gejala penyalahgunaan dadah ini semakin berleluasa.
Antara kesan penyalahgunaan dadah dalam kalangan remaja adalah seperti berikut:-
Penyalahgunaan dadah yang berterusan akan menjejaskan kebersihan dan kesihatan diri. Seseorang penagih dadah akan kelihatan tidak bermaya, pucat, dan akan kehilangan berat badan kerana mereka yang menggunakan dadah tidak akan menghiraukan kebersihan dan pemakanan yang teratur. Contohnya, bagi mereka yang ketagih amfetamin yang berterusan tidak mengambil makanan dan sentiasa bergerak. Meraka biasanya akan keletihan dan mungkin boleh jatuh pengsan kerana kekurangan tenaga. Kesihatan mental penagih juga akan terjejas kerana pengambilan dadah telah merosakkan sistem saraf pusat iaitu otak dan saraf tunjang. Penggunaan dadah halusinogen seperti mescaline memberi kesan ganjil kepada pengguna seperti perubahan imej tubuh, merasa diri besar, dan melayang-layang, boleh terbang, rasa tenang, riang dan menyebabkan lebih bergantung kepada dadah. Dadah ini mampu mengubah pandangan mata dan menyebabkan ilusi sehingga amat susah untuk membezakan yang benar dan sebaliknya.
Selain itu, penyalahgunaan dadah juga menjejaskan pretasi pelajaran remaja. Dadah perangsang selalunya diambil oleh pelajar supaya mereka dapat belajar dengan tekun kerana dadah jenis ini menyebabkan seseorang lebih suka bercakap dengan yakin dan menjadi lebih besar hati. Penyalahgunaan dadah ini menjadikan seseorang itu mudah keliru dan mudah pitam, selalu mendengar suara-suara yang tidak jelas dan boleh mendapat sakit otak. Selain itu, kesan penyalahgunaan dadah juga menyebabkan berlaku peningkatan kes-kes sosial dan jenayah seperti budaya samseng, kecurian, rompakan , rogol , pembunuhan dan sebagainya. Ini adalah kerana penagih sebenarnya telah mengalami kerosakan otak dan mampu atau sanggup melakukan apa sahaja demi ketagihan mereka kepada dadah . Jadi, langkah-langkah untuk membendung gejala ini perlu dilaksanakan.
Setelah faktor dan kesan diperolehi, maka terdapat langkah-langkah pencegahan yang boleh diikuti, antaranya :-
- Badan-badan kerajaan membuat kempen di sekolah bagi menekankan keburukan dadah dan bahaya nya ia terhadap diri seseorang. Kempen-kempen sebegini akan dapat menolong sedikit sebanyak kepada golongan remaja untuk lebih mengetahui tentang bahana jika mengambil dadah. Penguatkuasaan undang-undang perlu diperketatkan bagi membendung gejala penyalahgunaan dadah dalam kalangan remaja mengikut Akta Dadah Berbahaya 1995. Pemeriksaan ujian air kencing bagi pelajar sekolah perlu dilakukan secara berkala dengan kerjasama pihak sekolah.
- Ibu bapa seharusnya memainkan peranan penting dengan mengambil berat tentang anak-anak dan tidak hanya mementingkan urusan kerja semata-mata. Ibu bapa seharusnya mempunyai masa berkualiti bersama anak-anak setiap hari walaupun hanya 10 minit. 10 minit itu adalah masa yang berharga buat remaja kerana mereka merasa dihargai dan disayangi oleh ibu bapa.
- Langkah lain yang boleh digunakan adalah dengan memilih kawan yang betul. Pemilihan rakan sebaya yang betul akan dapat mengelakkan kita daripada terjebak daripada masalah sosial yang berbahaya ini. Hal ini kerana golongan remaja selalu terpengaruh akan gejala yang tidak sihat.
- Media massa perlu memainkan peranan dengan mengadakan iklan tentang bahayanya penggunaan dadah disamping memaparkan drama-drama atau filem tentang keburukan penggunaan dadah. Media massa memainkan peranan penting bagi membantu membanteras gejala penyalahgunaan dadah kerana remaja masa kini menjadikan media massa sebagai media untuk berhibur dan mendapatkan maklumat.
- Langkah lain yang membolehkan masyarakat daripada terjebak adalah dengan pengangan agama . Jika kita mempunyai pegangan agama yang tinggi ,maka kita tidak akan terjerumus di dalam aktiviti tidak sihat ini. Mendekatkan diri dengan tuhan,akan dapat memberikan kita untuk mengenalpasti akan kebaikan dan keburukan dadah itu.
Kesimpulannya, dadah memberi kesan negatif kepada sistem badan manusia dan sebagainya. Keburukan yang diterima oleh pengambil dadah adalah lebih banyak berbanding manfaatnya yang sementara. Dadah disalah gunakan untuk kepentingan diri sendiri seperti untuk mengelakkan tekanan belajar, mengelakkan letih, mendapatkan rasa segar dan sebagainya. Racun dadah akan membinasakan saraf manusia dan boleh menyebabkan kematian. Pengambilan dadah memberikan kelegaan yang bersifat sementara dan kesengsaraan yang lama kepada pengambilnya. Sebagai umat Islam melalui Al-Quran kita dilarang daripada mengambil bahan-bahan yang memabukkan seperti arak dan ini termasuklah juga dadah. Pengharaman ini sebenarnya mengandungi hikmah yang tersendiri untuk kebaikan umatnya. Oleh itu , jauhilah najis dadah demi keamanan dan kesejahteraan diri serta negara.
No comments:
Post a Comment